Soalan Lazim - Kewarganegaraan
1. Saya telah memenuhi semua syarat permohonan tetapi kenapa permohonan saya gagal dan bolehkah saya mengemukakan rayuan ?


Kerajaan belum berpuas hati untuk mempertimbangkan permohonan tuan/puan. Keputusan Y.B. Menteri adalah muktamad dan jika tuan/puan berminat untuk menjadi warganegara Malaysia, tuan/puan boleh mengemukakan permohonan baru.

 

 

2. Apakah cara untuk mempercepatkan permohonan kewarganegaraan saya ?

Tuan/puan boleh mengemukakan surat dengan alasan-alasan kenapa memerlukan kewarganegaraan dengan secepat mungkin.

3. Anak saya lahir di luar negeri dan umurnya sudah setahun. Bolehkan saya mendaftar kelahiran anak saya untuk menjadi warganegara Malaysia dan di mana dan bagaimanakah boleh saya berbuat demikian ?

Tuan/puan boleh mengemukakan permohonan perlanjutan pendaftaran kelahiran luar negeri kepada Y.B. Menteri melalui Ibu Pejabat dengan mengisi borang yang sama serta memberi alasan kenapa lewat mendaftar. Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negeri atau pejabat JPN yang berhampiran jika tuan/puan telah balik ke Malaysia.
4. Anak saya lahir di Singapura dan saya adalah warganegara Malaysia. Bagaimana saya hendak menjadikan anak saya seorang warganegara Malaysia ?

Jika kelahiran di Singapura, tidak perlu mendaftar dengan Pejabat Perwakilan di Singapura; jika anak tuan/puan hendak menetap di Malaysia pada suatu masa nanti, memadai dengan memohon pengesahan taraf kewarganegaraan dengan JPN melalui Pejabat Perwakilan di Singapura dan kemudian memohon perakuan taraf dengan Jabatan Imigresen.
5. Kewarganegaraan saya telah dilucutkan/ditolak. Bagaimanakah saya hendak menjadi warganegara Malaysia semula ?

Tuan/puan hendaklah mendapatkan status PR terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen. Berikutan itu, tuan/puan hendaklah memohon kebenaran Y.B. Menteri di bawah Perkara 18(2) Perlembagaan Malaysia untuk membolehkan tuan/puan memohon untuk menjadi warganegara Malaysia semula setelah memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diperlukan untuk menjadi warganegara Malaysia di bawah Perkara Perlembagaan yang bersesuaian.
6. Saya seorang warganegara Malaysia tetapi tidak mempunyai Sijil Warganegara. Saya memerlukan bukti sebagai warganegara untuk tujuan memperbaharui pasport, memohon pekerjaan dan urusan persekolahan anak ?

Tuan/puan adalah seorang warganegara secara undang-undang. Untuk tujuan di atas, tuan/puan boleh mengemukakan permohonan pengesahan taraf kewarganegaraan dengan JPN di mana tuan/puan akan dikeluarkan surat pengesahan taraf kewarganegaraan yang menjelaskan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara Perlembagaan yang bersesuaian.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia