Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana tahun 2007 telah berjaya dilalui oleh semua warga JPN. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah memberikan sokongan terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh Jabatan di sepanjang tahun lalu. Sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam umumnya dan Jabatan Pendaftaran Negara khususnya merupakan salah satu sebab JPN dipilih untuk menerima Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Negara (AKKSN) pada 30 November 2007 selain Persijilan MS ISO 9001:2000 berstatus UKAS (United Kingdom Accreditation Service) yang diperolehi pada 24 September 2007.
Pada tahun ini juga pemohon yang membuat permohonan di JPN Melaka boleh memperolehi Mykad mereka dalam tempoh 2 jam sahaja. Malah, orang ramai boleh berurusan pada hari Sabtu dan Ahad (8 pagi hingga 1 tengahari) di Ibu Pejabat JPN Negeri Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selain itu, urusan di kaunter JPN boleh dilakukan pada waktu rehat termasuk hari Jumaat di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan Negeri (kecuali Kelantan, Terengganu dan Kedah).
Kejayaan yang dicapai pada hari ini tidak akan menjadikan warga Jabatan ini selesa malah ia akan dijadikan pemangkin untuk terus meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan untuk memenuhi harapan dan aspirasi rakyat terhadap Perkhidmatan Awam. Oleh itu, jaminan yang dapat memastikan keperluan ini dipenuhi hanyalah melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang sempurna cepat, tepat, dan mesra.
Pada tahun 2008, Jabatan akan meneruskan program-program jangka pendek (2007 – 2011) yang telah dirancang melalui Pelan Perancangan Strategik JPN 2007 – 2016. Antaranya termasuklah mewujudkan kaunter kelahiran dan kematian di hospital-hospital Kerajaan terpilih, memendekkan tempoh pengeluaran MyKad kepada 3 jam bagi permohonan yang dibuat di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, 24 jam (Semenanjung Malaysia) dan 10 hari (Sabah dan Sarawak) serta memastikan kesilapan sifar (zero defect) serta mengekalkan layanan yang cekap, cepat dan mesra.
Jabatan sentiasa mengambil langkah untuk meningkatkan struktur, sistem, insentif dan kemahiran untuk memberikan perkhidmatan terbaik yang mengutamakan pelanggan. Tahun baru ini menjanjikan setiap warga JPN bekerja dengan lebih tekun, bersungguh-sungguh, komited dan ikhlas untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam dan merealisasikan visi jangka panjang untuk muncul sebagai Jabatan Perkhidmatan Kaunter Terbaik Di Dunia.
Sekian, terima kasih.
DATO’ MOHD ABDUL HALIM BIN MUHAMMAD
KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA MALAYSIA
1 JANUARI 2008