Perutusan Khas KPPN

 

 

 

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya Jabatan Pendaftaran Negara telah dipilih sebagai penerima Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Negara (AKKSN) sempena majlis Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 30 November 2007.

Saya mewakili seluruh warga Jabatan Pendaftaran Negara merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, MAMPU dan semua ahli panel serta pihak urus setia AKPM yang terlibat kerana telah memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap usaha Jabatan yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada kesemua 2,700 orang pegawai dan kakitangan di 210 cawangan JPN seluruh negara kerana telah memberikan 100% kerjasama dan sokongan ke atas usaha-usaha Jabatan untuk muncul sebagai Jabatan Perkhidmatan Kaunter Terbaik Dalam Perkhidmatan Awam. Anugerah ini juga membuktikan bahawa JPN telah berjaya melahirkan kakitangan yang komited dengan tugas, memiliki semangat berpasukan dan kesetiaan yang tinggi terhadap Jabatan.

Akhir kata, anugerah yang diterima ini akan dijadikan sebagai pemangkin bagi meneruskan usaha Jabatan untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan mengangkasakan perkhidmatan awam Malaysia selaras dengan saranan dan kehendak Kerajaan. Usaha yang berterusan ini adalah bagi merealisasikan visi jangka panjang Jabatan untuk muncul sebagai Jabatan Perkhidmatan Kaunter Terbaik Di Dunia seperti yang digariskan dalam Pelan Perancangan Strategik JPN 2007 – 2016.

 

Sekian, terima kasih.

DATO’ MOHD ABDUL HALIM BIN MUHAMMAD

KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA

1 DISEMBER 2007

 

 

 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia