Aplikasi MyKad > Aplikasi Utama > Aplikasi Kad ATM
 


Apakah ATM MyKad?
Kemudahan ATM merupakan salah satu daripada aplikasi komersil yang terdapat dalam MyKad. Melalui kemudahan ini MyKad boleh berfungsi sebagai kad ATM bank yang boleh menjalankan urusniaga perbankan seperti pengeluaran wang, pertanyaan baki, pemindahan wang, penukaran nombor PIN, dan lain-lain urusniaga atau kemudahan seperti mana yang diperolehi melalui ATM BANKCARD.
 
Kenapa mesti bertukar kepada ATM MyKad?
MyKad menggunakan teknologi cip yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Teknologi cip menggunakan pengesahan biometrik dan melalui proses enkripsi untuk melindungi data yang disimpan di dalam cip.Proses capaian dijalankan dengan menggunakan ‘Secure Access Module’ (SAM) untuk menjamin keselamatan data tersebut yang dilindungi sepenuhnya daripada sebarang pemalsuan dan pengklonan. Anda boleh memasukkan sehingga tiga akaun bank berlainan dalam MyKad. Pemegang MyKad boleh memilih untuk mempunyai tiga akaun bank utama dalam satu kad bagi kemudahan dan keselesaan urusniaga perbankan.
 
Bank manakah yang terlibat?
Semua bank adalah bertanggungjawab untuk menaik taraf terminal ATM mereka untuk menerima MyKad. Pemegang ATM MyKad boleh menjalankan urusniaga perbankan di mana-mana terminal ATM yang mempunyai logo MyKad.


Terdapat 5 bank pengeluar iaitu:

CIMB (1-300-880-900)
Citibank (03-23830000)
Maybank (1-300-88-66-88)
Public Bank (1-800-88-3318)
Bank Islam (03-26989608)
 
Bank pengeluar adalah bertanggungjwab untuk mengaktifkan akaun dan menambah Nombor Akaun Utama (PAN) serta keunci keselamatan ATM ke dalam cip MyKad.

Sila hubungi nombor telefon yang tertera di atas atau cawangan bank berkenaan yang terdekat untuk maklumat lanjut berkenaan proses pengaktifan kemudahan ATM ke dalam MyKad.
 
Bagaimana untuk Memohon
1. Mohon MyKad di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara berhampiran. Hanya MyKad yang tertera logo ATM sahaja tersedia dengan kemudahan ATM.
2. Bawa MyKad ke mana-mana bank pengeluar. Bank pengeluar perlu memasukkan Nombor Akaun Utama dan maklumat kunci keselamatan ATM kedalam cip MyKad.(Jika tidak mempunyai akaun dengan bank pengeluar, anda perlu mebuka akaun).
3. Sebaik sahaja data telah dimasukkan ke dalam MyKad anda, anda boleh manjalankan transaksi perbankan melalui ATM dengan menggunakan MyKad anda.
 
Soalan Lazim
1. Siapa yang layak menggunakan MyKad sebagai kad ATM?
Sekiranya anda memiliki MyKad yang diaktifkan dengan ATM dan memenuhi syarat-syarat bank, anda adalah layak untuk menggunakan MyKad sebagai ATM.
 
2. Jika saya mempunyai ATM BANKCARD, bolehkah saya menggunakan MyKad sebagai Kad ATM?
Anda hanya boleh memilih untuk menggunakan salah satu sahaja samada ATM MyKad atau ATM Bankcard. Anda perlu memaklumkan kepada pihak bank mengenainya.
 
3. Apakah yang harus dilakukan sekiranya MyKad anda hilang, rosak, tidak boleh digunakan atau ditelan oleh ATM?
Sekiranya MyKad anda hilang, rosak atau tidak boleh digunakan, anda hendaklah segera memohon gantian di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara berhampiran. Sekiranya MyKad anda ditelan oleh mesin ATM, pihak bank akan menyimpannya untuk tempoh 7 hari bekerja. Anda boleh mendapatkannya semula di bank berkenaan pada waktu bekerja dalam tempoh tersebut.
 
Jika tidak dituntut, pihak bank akan menghantar MyKad tersebut ke Jabatan Pendaftaran Negara berhampiran. Dalam keadaan biasa MyKad tidak boleh ditelan oleh ATM kecuali ia mengalami kerosakan mekanikal atau terputus bekalan elektrik.