Aplikasi Utama

MyKad sebagai Kad Pengenalan

MyKad menyimpan maklumat-maklumat seperti:
– Nama
– Alamat
– Bangsa
– Status kerakyatan
– Agama (bagi yang Gambar beragama Islam)
– Minutiae cap jari

MyKad memasukkan minutiae cap jari anda ke dalam cip dan ini membolehkan pengesahan cap jari dilakukan secara tepat dan terperinci dengan menggunakan alat pembaca MyKad.

Aplikasi Memandu

Maklumat lesen dalam cip seperti tarikh luput, jenis lesen dan kategori lesen pemilik dapat dibaca menggunakan alat pembaca MyKad yang dibenarkan seperti alat Pembaca Kad Mudahalih, Pembaca Kad Mini atau Kiosk.
Penggunaan aplikasi ini boleh menggantikan sepenuhnya penggunaan lesen laminated sedia ada. Pihak penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia telah dimaklumkan tentang aplikasi ini.
Pembaharuan lesen memandu dalam MyKad boleh dibuat di seluruh cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan di cawangan Pejabat Pos* tertentu.

* Untuk maklumat lanjut sila hubungi PosLine 1-300-300-300 atau kunjungi cawangan Pos Malaysia yang berdekatan.

MyKad sebagai Passport

Maklumat pasport seperti tarikh sah laku dan nombor siri pasport boleh dimasukkan ke dalam MyKad untuk urusan keluar dan masuk di pintu kawalan Imigresen Malaysia dengan menggunakan laluan “Autogate”.

MyKad tidak menggantikan pasport sepenuhnya. Pasport masih perlu dibawa untuk perjalanan antarabangsa. Kemasukan oleh penduduk Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga telah dipermudahkan dengan menggunakan MyKad untuk tujuan pendaftaran masuk tanpa perlu mengisi borang.

MyKad sebagai Prasarana Kekunci Awam

Aplikasi Prasarana Kekunci Awam (PKI) memuatkan Sijil Digital dan Kekunci Per-sendirian di dalam MyKad. Sijil Digital ini membolehkan empat transaksi dilakukan secara elektronik seperti:

Pengesahan – orang lain tidak boleh menyamar sebagai anda
Pembuktian – tandatangan digital sebagai bukti sah transaksi
Sulit – Maklumat sulit boleh dienkrip sebagai sulit
Integriti – tiada pihak ketiga boleh mengubah sebarang maklumat

Sijil Digital boleh digunakan untuk urusniaga e-Dagang. Anda boleh menghubungi MSC Trustgate atau DigiCert bagi membolehkan MyKad berfungsi sebagai Sijil Digital. Antara agensi yang menggunakan aplikasi ini ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan e-Perolehan.

Aplikasi

Untuk menggunakan MyKad PKI, sila ikuti tiga langkah mudah berikut :-
1. Mohon MyKad di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran.
2. a) Untuk mengaktifkan fungsi PKI, bawa bersama MyKad anda ke pihak berkuasa Pensijilan Berlesen (CA) atau pejabat pihak berkuasa ejen (AA) untuk memohon Sijil Digital anda, pembaca kad dan perisian PKI. Bayaran untuk mengaktifkan PKI akan dikenakan oleh CA dan AA.
atau;
b) Laksanakan fungsi PKI anda melalui Internet. Jika anda telah mempunyai pembaca kad dan perisian PKI, anda boleh memohon Sijil Digital anda secara online di laman web mana-mana pihak berkuasa Pensijilan Berlesen (CA).

Kegunaan

1.E-mail
2.E-perbankan
3.E-bursa saham
4.E-pembayaran bil
5.E-berbelanja
6.E-perkhidmatan awam atau,
7.Kesemua perkhidmatan yang boleh menggunakan MyKad PKI

Daftarlah dengan laman web yang sesuai yang menerima MyKad PKI.
Sebaik sahaja berdaftar, anda boleh menggunakan MyKad PKI anda untuk enkripsi dan / atau menandatangan.

 MyKad as a Transit Card (Touch ‘n Go)

Touch ‘n Go adalah aplikasi dompet elektronik yang menggunakan ciri contactless. Aplikasi ini digunakan untuk pembayaran kerana ianya cepat dan mudah dan boleh digunakan di tempat seperti:-
-Plaza tol lebuhraya
-Pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), RapidKL
-Tempat letak kereta
-Taman tema

Tambah nilai Touch ‘n Go boleh dilakukan di plaza tol, stesen LRT atau di mesin ATM yang mempunyai logo Touch ‘n Go.

* Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Touch ‘n Go di alamat berikut www.touchngo.com.my

MyKad sebagai Dokumen Kesihatan

Maklumat asas kesihatan seperti jenis darah, alahan, organ implan, penyakit kronik dan maklumat waris atau ahli keluarga terdekat boleh dimasukkan ke dalam cip MyKad.

Kemasukan maklumat asas kesihatan boleh dibuat di hospital dan klinik yang terlibat di dalam projek Aplikasi Perdana Telekesihatan di Hospital Putrajaya dan Serdang.

Maklumat ini dapat membantu doktor dan paramedik untuk memberi bantuan perubatan semasa kecemasan.

* Untuk maklumat lanjut sila hubungi 03-88831072 atau kunjungi hospital dan klinik yang terlibat.

.
X