Warganegara
1. Saya telah memenuhi semua syarat permohonan tetapi kenapa permohonan saya gagal dan bolehkah
saya mengemukakan rayuan ?
Kerajaan belum berpuas hati untuk mempertimbangkan permohonan tuan/puan. Keputusan Y.B.Menteri
adalah muktamad dan jika tuan/puan berminat untuk menjadi warganegara Malaysia,
tuan/puan boleh mengemukakan permohonan baru.
2. Apakah cara untuk mempercepatkan permohonan kewarganegaraan saya ?
Tuan/puan boleh mengemukakan surat dengan alasan-alasan kenapa memerlukan
kewarganegaraan dengan secepat mungkin.
3. Anak saya lahir di luar negeri dan umurnya sudah setahun. Bolehkan saya mendaftar kelahiran anak
saya untuk menjadi warganegara Malaysia dan di mana dan bagaimanakah boleh saya berbuat demikian ?
Tuan/puan boleh mengemukakan permohonan perlanjutan pendaftaran kelahiran luar negeri
kepada Y.B. Menteri melalui Ibu Pejabat dengan mengisi borang yang sama serta memberi alasan
kenapa lewat mendaftar. Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perwakilan Malaysia di
luar negeri atau pejabat JPN yang berhampiran jika tuan/puan telah balik ke Malaysia.
4. Anak saya lahir di Singapura dan saya adalah warganegara Malaysia. Bagaimana saya hendak
menjadikan anak saya seorang warganegara Malaysia ?
Jika kelahiran di Singapura, tidak perlu mendaftar dengan Pejabat Perwakilan di Singapura; jika
anak tuan/puan hendak menetap di Malaysia pada suatu masa nanti, memadai dengan memohon
pengesahan taraf kewarganegaraan dengan JPN melalui Pejabat Perwakilan di Singapura dan
kemudian memohon perakuan taraf dengan Jabatan Imigresen.
5. Kewarganegaraan saya telah dilucutkan/ditolak. Bagaimanakah saya hendak menjadi warganegara
Malaysia semula ?
Tuan/puan hendaklah mendapatkan status PR terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen.
Berikutan itu, tuan/puan hendaklah memohon kebenaran Y.B. Menteri di bawah Perkara 18(2)
Perlembagaan Malaysia untuk membolehkan tuan/puan memohon untuk menjadi warganegara
Malaysia semula setelah memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diperlukan untuk menjadi
warganegara Malaysia di bawah Perkara Perlembagaan yang bersesuaian.
6. Saya seorang warganegara Malaysia tetapi tidak mempunyai Sijil Warganegara. Saya memerlukan
bukti sebagai warganegara untuk tujuan memperbaharui pasport, memohon pekerjaan dan urusan
persekolahan anak ?
Tuan/puan adalah seorang warganegara secara undang-undang. Untuk tujuan di atas, tuan/puan
boleh mengemukakan permohonan pengesahan taraf kewarganegaraan dengan JPN di mana
tuan/puan akan dikeluarkan surat pengesahan taraf kewarganegaraan yang menjelaskan taraf
kewarganegaraan di bawah Perkara Perlembagaan yang bersesuaian.
7. Saya telah melahirkan anak di luar negara. Saya seorang warganegara Malaysia dan telah berkahwin dengan seorang
warganegara asing. Bagaimana caranya supaya saya boleh menjadikan anak saya seorang warganegara Malaysia?
Puan boleh memohon warganegara untuk anak tersebut mengikut peruntukan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Puan boleh mengemukakan permohonan di mana-mana Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran dengan tempat tinggal puan.
Sekiranya terdapat soalan lain sila membuat pertanyaan melalui e-Pertanyaan (Sistem i-SPAAA JPN) di http://jpn.bpa.jpm.my/eApps/sdmscasepool/SdmsCasePool/add.do
atau sila hubungi:
Pegawai Perkhidmatan Pelanggan
Tel:03-8880 7000
Faks:03-8880 8288
Emel:pro@jpn.gov.my
