Seksyen 9 Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Sarawak CAP.10) telah menyatakan dengan jelas bahawa kematian tiap-tiap orang yang mati di Malaysia hendaklah didaftarkan kematiannya dengan syarat mayatnya dijumpai. Sehubungan dengan itu, bagi kes individu yang telah di deklarasikan sebagai telah dianggap mati oleh Mahkamah Tinggi, satu perintah Anggapan Kematian akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah.
Bagi kes anggapan kematian, Jabatan ini tidak akan mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kematian. Walaubagaimanapun, Jabatan ini hanya akan mengemaskini maklumat individu yang telah dianggap mati oleh Mahkamah Tinggi di dalam sistem. Untuk sebarang urusan berkaitan individu yang telah dianggap mati, waris perlulah menggunakan perintah mahkamah yang telah di keluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Permohonan untuk mengemaskini maklumat individu yang telah dianggap mati melalui perintah mahkamah hanya diuruskan oleh JPN Ibu Pejabat Putrajaya sahaja. Walaubagaimanapun, pemaklum boleh juga mengemukakan permohonan di JPN Ibu Negeri untuk dipanjangkan ke JPN Ibu Pejabat Putrajaya.