Pengenalan
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ialah sebuah jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri. JPN bertanggungjawab mendaftarkan peristiwa penting setiap individu seperti kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian. Di samping itu, JPN juga bertanggungjawab menentukan taraf kewarganegaraan serta mengeluarkan dokumen identiti dalam bentuk kad pengenalan kepada individu yang layak.
Jabatan Pendaftaran Negara ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Darurat (Kawasan-kawasan Pendaftaran) 1948 dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan. Peraturan-peraturan ini mewajibkan semua penduduk mendaftar dan memperoleh kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun. Jabatan ini turut diberikan fungsi tambahan untuk mendaftarkan peristiwa penting yang merangkumi kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan, perceraian dan kewarganegaraan.
Sejak penubuhannya, Jabatan ini telah berpindah ke beberapa bangunan di Kuala Lumpur dan Selangor. Pada awalnya, Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara terletak di Bangunan Sulaiman, Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Pada tahun 1958, Ibu Pejabat berpindah ke Bangunan Persekutuan, Petaling Jaya bagi menampung pertambahan rekod, dokumen dan kakitangan. Beberapa tahun kemudian, Ibu Pejabat JPN berpindah ke Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Mulai Disember 2004, Ibu Pejabat JPN beroperasi di Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Disember 2004
Lokasi:
Ibu Pejabat JPN, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
Putrajaya
Tahun 1980
Lokasi:
Ibu Pejabat JPN,
Bangunan PKNS,
Petaling Jaya, Selangor
Tahun 1958
Lokasi:
Ibu Pejabat JPN,
Bangunan Persekutuan,
Petaling Jaya, Selangor
Tahun 1948
Lokasi:
Ibu Pejabat JPN,
Bangunan Sulaiman,
Jalan Damansara, Kuala Lumpur