Perkahwinan dan Perceraian
Soalan Lazim Perkahwinan dan Perceraian
Senarai soalan lazim dan jawapan untuk rujukan awam.
PENDAFTARAN PERKAHWINAN
Apakah yang akan terjadi kepada perkahwinan-perkahwinan yang diupacarakan tidak mengikuti peruntukan-peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 ini ?
Sesuatu perkahwinan yang diupacarakan tidak mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta adalah PERKAHWINAN TAKSAH. Selepas tarikh penguatkuasaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta 164, iaitu, pada 01.03.1982 semua perkahwinan bukan Islam WAJIB didaftarkan di bawah Akta tersebut dan perkahwinan tersebut bersifat monogami.
Apakah maksud PERKAHWINAN MONOGAMI?
Perkahwinan Monogami bermaksud selepas tarikh kuatkuasa Akta 164, seseorang yang telah berkahwin secara sah di bawah mana-mana undang-undang tidak boleh berkahwin lagi dengan sah dengan seseorang lain semasa perkahwinan ini masih berterusan sama ada di Malaysia atau di mana-mana negara lain.
Apakah hukuman yang dikenakan ke atas seseorang yang berkahwin lebih daripada satu?
Jika seseorang yang telah berkahwin dengan sah di bawah sesuatu undang-undang, agama, adat atau kelaziman berkahwin lagi dalam masa berterusnya perkahwinan itu dan dalam hayat suami atau isteri, maka ia disifatkan sebagai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 494 Kanun Keseksaan.
Siapakah yang boleh mengupacarakan perkahwinan?
Perkahwinan hanya boleh diupacarakan oleh seseorang yang telah dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan di bawa Akta 164 di Jabatan Pendaftaran Negara dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara atau Penolong Pendaftar Perkahwinan di kuil, gereja atau persatuan.
Bolehkah seseorang yang tidak dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan mengupacarakan sesuatu Perkahwinan?
Tidak boleh. Adalah menjadi suatu kesalahan jika ia melakukannya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 10 TAHUN dan DENDA tidak lebih daripada RM 15,000 (Lima Belas Ribu Ringgit Malaysia).
Jika pihak yang ingin berkahwin atau mendaftar perkahwinan didapati memberikan butir-butir peribadi yang palsu, apakah hukumannya?
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 3 tahun atau denda tidak lebih daripada RM 3,000.00 (Tiga Ribu Ringgit) atau kedua-duanya sekali.
Bolehkah tempoh selama 21 hari untuk mempamerkan Borang Permohonan, Pemberitahuan Perkahwinan Dan Akuan bertulis (JPN.KC02) DIKECUALIKAN untuk perkahwinan-perkahwinan yang akan diupacarakan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara?
Boleh. Pihak yang ingin berkahwin itu boleh memohon untuk mendapatkan satu lesen khas di bawah Seksyen 21(1) Akta 164 iaitu, Permohonan Lesen Perkahwinan Tanpa Memerlukan Pemberitahuan Perkahwinan Dan Perakuan Untuk Perkahwinan (JPN.KC01C) daripada Penguasa Pendaftar Perkahwinan di negeri yang berkenaan. Bayaran untuk lesen khas ini, jika ia diluluskan, ialah RM 100.00 (Satu Ratus Ringgit Malaysia).
Bolehkah pendaftaran perkahwinan dilakukan di Persatuan / Kuil / Gereja?
Pendaftaran perkahwinan di bawah Akta 164 hanya boleh diupacarakan di Persatuan/Kuil/Gereja di mana pihak JPNM telah melantik Penolong Pendaftar Perkahwinan.
Apakah tindakan yang harus diambil sekiranya salah seorang warganegara atau kedua-dua pasangan warganegara berkahwin di luar negara di bawah undang-undang sivil negara berkenaan?
Pasangan perlu membuat pendaftaran semula perkahwinan di luar negara di bawah Seksyen 31 Akta 164 sama ada di pejabat JPN yang terdekat atau di pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.
- dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh perkahwinan di luar Negara; atau
- dalam tempoh enam bulan selepas sahaja tiba di Malaysia.
Bayaran penalti akan dikenakan bagi pendaftaran lewat.
PENDAFTARAN PERCERAIAN / PEMBATALAN PERKAHWINAN
Apakah maksud Dekri Nisi Mutlak?
Dekri Nisi Mutlak adalah dokumen perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi pengesahan pembubaran sesuatu perkahwinan yang sah.
Apakah yang harus dilakukan sekiranya Dekri Nisi Mutlak telah hilang dalam simpanan pemohon?
Pemohon boleh mendapatkan salinan Asal daripada peguam yang telah dilantik ataupun salinan yang diakui sah daripada Mahkamah Tinggi yang berkenaan.
TRIBUNAL PERKAHWINAN
Apakah makna Badan Pendamai?
Badan Pendamai ertinya sesuatu majlis yang ditubuhkan bagi maksud perdamaian oleh pihak berkuasa yang berkenaan bagi sesuatu agama, puak, kaum, atau persatuan.
Bagaimanakah cara merujukkan masalah kepada Tribunal Perkahwinan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?
Sipetisyen perlu memasukkan permohonan di pejabat JPN yang terdekat.
SURAT PENGESAHAN TARAF PERKAHWINAN
Mengapakah Surat Pengesahan Taraf Perkahwinan hanya dikeluarkan di Ibu pejabat, Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya dan bukannya di cawangan Negeri?
Surat Pengesahan Taraf Perkahwinan dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang ingin berurusan rasmi di luar negara.
PENDAFTARAN PERKAHWINAN MELALUI PENOLONG PENDAFTAR PERKAHWINAN (PPP)
Di manakah Borang Permohonan Pendaftaran Perkahwinan (Borang JPN.KC02) boleh didapati?
Pasangan boleh mendapatkan Borang Permohonan Pendaftaran Perkahwinan (Borang JPN.KC02) di Kaunter Perkahwinan, pejabat JPN Negeri/Daerah/Daerah Kecil/Cawangan.
Apakah dokumen yang perlu diserahkan di kaunter perkahwinan semasa saya dan pasangan saya hadir ke pejabat JPN untuk membuat semakan maklumat diri serta status perkahwinan?
Borang JPN.KC02 yang telah dibuat sumpah Akuan Berkanun di Bahagian D.2 di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah / Justice of Peace / Majistret di mahkamah dan MyKad masing-masing. Pasangan wajib hadir bersama.
Berapakah jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh pasangan untuk membuat pendaftaran perkahwinan di Kuil/Gereja/Persatuan?
RM20.00 sahaja. Bayaran perlu dibuat di kaunter perkahwinan, pejabat JPN dan resit bayaran akan dikeluarkan atas nama pasangan lelaki.