Warganegara
Soalan Lazim Warganegara
Senarai soalan lazim dan jawapan untuk rujukan awam.
Saya telah memenuhi semua syarat permohonan tetapi kenapa permohonan saya gagal dan bolehkah saya mengemukakan rayuan?
Kerajaan belum berpuas hati untuk mempertimbangkan permohonan tuan/puan. Keputusan Y.B. Menteri adalah muktamad dan jika tuan/puan berminat untuk menjadi warganegara Malaysia, tuan/puan boleh mengemukakan permohonan baru.
Apakah cara untuk mempercepatkan permohonan kewarganegaraan saya?
Sewaktu permohonan dikemukakan, pemohon telah dimaklumkan bahawa permohonan taraf kewarganegaraan akan diproses dan keputusan akan dimaklumkan secara bertulis kepada pemohon.
Walau bagaimanapun, pelanggan boleh mengemukakan surat menyatakan sebab dan alasan bagi mempercepatkan proses permohonan dan ia bergantung kepada Kerajaan Malaysia untuk membuat pertimbangan dan keputusan.
Anak saya lahir di luar negeri dan umurnya sudah setahun. Bolehkah saya mendaftar kelahiran anak saya untuk menjadi warganegara Malaysia?
Tuan/puan boleh mengemukakan permohonan perlanjutan pendaftaran kelahiran luar negeri kepada Y.B. Menteri melalui Ibu Pejabat dengan mengisi borang yang sama serta memberi alasan kenapa lewat mendaftar.
Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negeri atau pejabat JPN yang berhampiran jika tuan/puan telah balik ke Malaysia.
Anak saya lahir di Singapura dan saya adalah warganegara Malaysia.
Jika kelahiran di Singapura, tidak perlu mendaftar dengan Pejabat Perwakilan di Singapura.
Jika anak tuan/puan hendak menetap di Malaysia pada masa hadapan, memadai dengan memohon pengesahan taraf kewarganegaraan dengan JPN melalui Pejabat Perwakilan di Singapura dan kemudian memohon perakuan taraf dengan Jabatan Imigresen.
Kewarganegaraan saya telah dilucutkan atau saya telah melepaskan kewarganegaraan Malaysia.
Tuan/puan dinasihatkan untuk hadir ke pejabat JPN untuk semakan kelayakan memohon dengan membawa semua dokumen berkaitan.
Saya telah melahirkan anak di luar negara dan berkahwin dengan seorang warganegara asing.
Puan boleh memohon warganegara untuk anak tersebut mengikut peruntukan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan boleh dikemukakan di mana-mana Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran dengan tempat tinggal puan.
Sekiranya terdapat soalan lain
Sila membuat pertanyaan melalui e-Pertanyaan (SISPAA JPN):
Atau sila hubungi:
Pegawai Perkhidmatan Pelanggan
Tel: 03-80008000
Faks: 03-88808288
Email:
pro@jpn.gov.my