Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253) (de facto) adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara dan hanya terpakai di Semenanjung Malaysia sahaja. Akta ini bertujuan bagi mendaftarkan anak angkat de facto di mana seseorang kanak-kanak berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh seseorang atau pasangan suami isteri secara bersama, sebagai anaknya atau anak mereka sendiri bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun yang berterusan sebelum pendaftaran pengangkatan dibuat. Pengangkatan ini termaktub di bawah Akta 253 dan terpakai bagi mereka yang beragama Islam dan bukan Islam.
Permohonan Pendaftaran Pengangkatan de facto perlu dikemukakan di Pejabat JPN (Semenanjung Malaysia sahaja) dalam daerah ibu bapa angkat atau ibu angkat (tunggal) atau bapa angkat (tunggal) dan anak angkat tersebut bermastautin.
Kelayakan kanak-kanak
1. Belum pernah berkahwin.
2. Berumur di bawah 18 tahun dan bermastautin di Semenanjung Malaysia.
3. Telah berada dalam jagaan dan dipelihara serta dididik oleh seseorang atau pasangan suami isteri secara bersama, sebagai anaknya atau anak mereka sendiri bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun yang berterusan sebelum pendaftaran pengangkatan dibuat.
4. Kanak-kanak bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
5. Kanak-kanak memiliki dokumen pengenalan diri (Sijil Kelahiran/ Kad Pengenalan/ Pasport/ Permit Masuk bagi warganegara asing/ dan visa perlu cukup tempoh dua tahun).
Kelayakan pemohon
1. Salah seorang ibu bapa angkat (suami/isteri) atau ibu angkat (tunggal) atau bapa angkat (tunggal) bertaraf Warganegara atau Penduduk Tetap;
2. Ibu bapa angkat atau ibu angkat (tunggal) atau bapa angkat (tunggal) berumur 25 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada kanak-kanak;
3. Pasangan suami isteri memiliki Dokumen Perkahwinan yang sah;
4. Mendapat keizinan pengangkatan daripada ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal. Sekiranya ibu kandung berumur bawah 18 tahun, surat keizinan pengangkatan hendaklah ditandatangani bersama dengan salah seorang ibu atau bapa atau adik beradik ibu kandung yang telah berumur 18 tahun ke atas;
*Sekiranya tiada keizinan ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal perlu mendapatkan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
5. Permohonan perlu dikemukakan di JPN (Semenanjung Malaysia sahaja) dalam daerah ibu dan bapa angkat bermastautin.
i. Borang Permohonan Pendaftaran Pengangkatan – JPN.AA01;
ii. Sijil Kelahiran kanak-kanak (Asal dan Salinan);
iii. Salinan pasport kanak-kanak (bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara)
iii. Surat Akuan Berkanun atau Surat Keizinan Pengangkatan (JPN.AA07) oleh ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal.
iv. Surat Akuan Berkanun oleh ibu bapa angkat / ibu angkat (tunggal) / bapa angkat (tunggal).
v. Satu salinan Kad Pengenalan atau pasport ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal kepada kanak-kanak seperti yang tercatat pada Sijil Kelahiran kanak-kanak;
vi. Kad Pengenalan atau pasport dan Visa ibu bapa angkat (Asal dan Salinan);
vii. Dokumen perkahwinan ibu bapa angkat yang sah (Asal dan Salinan);
viii. Sijil Kelahiran atau dokumen pengenalan diri anak-anak kandung ibu bapa angkat (jika ada);
ix. Gambar penuh kanak-kanak ukuran poskad;
x. Bukti pemastautin ibu bapa angkat atau ibu angkat (tunggal) atau bapa angkat (tunggal) seperti bil letrik/ bil air /bil telefon /cukai pintu dan sebagainya;
xi. Salinan Sijil Kematian ibu atau bapa kandung kanak-kanak sekiranya ibu atau bapa kandung meninggal dunia;
xii. Salinan penyata gaji pemohon (jika ada); dan
xiii. Borang 13 (Pemohon perlu mendapatkan Borang 12 terlebih dahulu dari mana-mana Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (Semenanjung Malaysia sahaja) yang berhampiran atau dari Pejabat Kebajikan Masyarakat dalam kawasan bermastautin ibu bapa angkat atau ibu angkat (tunggal) atau bapa angkat (tunggal) sebelum Borang 13 dikeluarkan oleh Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat)
Prosiding
i. Semua permohonan pendaftaran pengangkatan akan ditemuduga melalui sesi prosiding di hadapan Pendaftar. Pihak yang perlu hadir adalah:
a) Ibu bapa angkat atau ibu angkat (tunggal) atau bapa angkat (tunggal)
b) Kanak-kanak
c) Ibu bapa kandung / penjaga kanak-kanak yang sah (jika perlu)
Bayaran sebanyak RM30.00 perlu dibuat setelah permohonan pengangkatan diluluskan
Borang Permohonan Pendaftaran Anak Angkat JPN.AA01;
Makluman: Borang dalam portal ini hanya untuk panduan. Sila gunakan borang asal semasa mengemukakan permohonan.